KUALA LUMPUR: Persediaan perlu dilakukan wanita seawal usia 40 tahun untuk menghadapi peringkat menopaus, kata Presiden Persatuan Menopaus Malaysia (MMS), Dr Liew Fah Onn. Menurut beliau, kekurangan maklumat berkaitan perkara itu didapati menjadi faktor kebanyakan wanita mengabaikan kepentingan pengambilan langkah awal sekali gus mewujudkan pelbagai komplikasi sebaik memasuki usia 50 tahun dan ke atas.
Katanya, khidmat nasihat dan konsultasi doktor selain Terapi Gantian Hormon Estrogen (HRT) antara pilihan sepatutnya dimanfaatkan wanita untuk terus memastikan risiko penyakit kronik disebabkan kegagalan membuat persediaan awal dapat dikurangkan. "Mungkin ramai tidak tahu sebenarnya kanser bukan pembunuh utama lelaki dan wanita sebaliknya penyakit jantung apabila risiko terhadap penyakit ini boleh dikurangkan sekiranya persediaan awal menghadapi menopaus diambil.
"Namun, kanser utama yang menjadi pembunuh wanita memang kanser payudara dan kajian juga menunjukkan wanita yang mengambil estrogen pada peringkat awal serta meneruskan pengambilan itu mampu mengurangkan risiko mereka 23 peratus untuk memperoleh penyakit terbabit (kanser payudara),” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Menopos Sedunia 2011 di sini, semalam.
Hadir sama, Naib Presiden MMS, Datuk Dr Jakinder S Gendeh dan Dr Wong Kim Lei.
Sementara itu, sambutan terbabit menyaksikan sesi ceramah disampaikan beberapa pakar optalmologi dalam memberi penerangan serba ringkas mengenai menopos mencakupi pelbagai aspek antaranya simptom, pengurusan dan kesan menopos kepada wanita.
Dr Liew berkata, pada tahun ini, pihaknya memberi tumpuan kepada beberapa aspek kurang diperbahaskan kepada wanita termasuk lemak baik dan jahat.

